Thursday, November 26, 2009

HUTANG KORBAN

akhir-akhir ini jiwa kacau
hilang akal meracau
kenapa?
entah
tiba-tiba takut kehilangan
apa?
mereka
penyeri hidupku
siapa?
semua
terutama yang itu


dalam ramai-ramai
campur sahabat
tolak keluarga
satu paling istimewa
sayang sama saudara
penting lebih kekasih
air mata cukup murah
turun mencurah-curah
matahari tiba-tiba hilang
menutup jasad dalam terang
imaginasiku tak mampu terima
tak terbayang
jika dia pergi selamanya


aku banyak hutang
terhutang
               masa
                       tenaga
                                  emosi
kata mereka ada yang terpendam
tak pernah dia luahkan
rasa bersalah
terserlah dari ceritanya
mengisahkan seorang kawan dipangkuan
nyawa-nyawa ikan
terpejam mata tubuh kebiruan
dilanggar kereta tepi jalan
depan kediaman
melintas pulang
usai aktiviti petang


maafkan aku, teman
merampas riang kanak-kanakmu
terbawa ke dewasa
hari-hari berhantu trauma
sedang aku senang lenang
semua dipadam lena panjang


katakan saja
apa perlu kulakukan
membalas segunung pengorbanan
sejuta senyuman mengaburi
menyimpul rapi
rahsia hatimu.

26 NOV 2009
~22:00pm~

p/s: S&S forever!!
       selamat hari lahir, shida!! (27 nov)
      15 tahun akrab....12 tahun kisah itu telah berlalu

Tuesday, November 24, 2009

AKU, KAMU DAN CEMBURU

kamu datang tak berjemput
menumpang terang cahaya alam
manis mulut berbicara
lembut gigi dari lidah
bercabang tidak
semua benar bukan helah

aku tak tahu
apa kamu cari
dalam silauan mentari
apa kamu mahu
dari pancaran ultra-ungu
perit tidak pada kulitmu
tapi aku

aku kamu tatang
sarat kasih sayang
sebelum angin monsun bertiup kencang
mencampak selendang kasih
tanpa belas kasihan
hancur bersama runtuhan
lupakan rentetan persahabatan
hanya kerana cemburu perempuan

aku benci kamu
bukan kerana agungnya cinta
bukan kerana cemburunya dia
tapi pendirianmu, kawan
seringan awan
sentiasa berubah kedudukan
untuk apa kembali
berkali-kali
hanya untuk menyakiti

24 Nov 2009
~22:40pm~

MAINAN HATI

malam ini hujan lagi
membanjiri kemarau panjang
bukan langit selalu cerah
tapi awan yang membeku
mengeraskan emosi
menegakkan ego sendiri


lemahkah aku
jika menangis
salahkah aku
kerana mengemis
cinta pemilik hati
yang ku tahu
kesudahannya belum tentu

ya
belum tentu bahagia 
di akhir cerita
dan sengsara 
belum pasti menjelma

24 Nov 2009
~00:15 am:

Thursday, November 19, 2009

DAN AKHIRNYA SI KECIL BERSUARA...

kisah itu sudah lama ditentukan
ketika bunga-bunga cinta masih berkembang
berkuntum-kuntum di awangan
selalu sangat diucap
sampai sekarang terngiang
kakak anak ibu
adik anak ayah

bila ribut menggila
kelopak-kelopak cinta mula gugur
berterabur
bersepah-sepah
anak-anak itu dipungut bersama
meredah haluan masing-masing
pulang ke rumah keluarga
seperti yang ditentukan
kakak anak ibu
adik anak ayah

hari berganti bulan
berganjak tahun
begitulah mereka
anak-anak naif
cerdik tak terlangkau dek dewasa
mungkin terbiasa
setiap pertemuan ada perpisahan
rumahku bukan rumahmu

mereka berdua mangsa cinta
pilihan bukan untuk dipilih
cemburu kakak terpaksa diam
impian kakak perlu pendam
mata tak mampu menipu
bersinar cerlang menunggu undangan
bergenang lembap dihantar pulang

lama kakak menjeruk rasa
berkias memuji 
bermimpi menggapai bintang
merenung bulan milik adik
laman nenek sana nampak indah
dan akhirnya si kecil itu bersuara;
"kakak nak tinggal rumah mak tok".




19 nov 2009
23:19 pm

MONOLOG HATI II

kini
pengalaman bukan lagi duri
biar goyah benteng minda
biar roboh pagar hati
biar pedih perasaan sering dilukai
kasihku tetap tidak dikhianati


selama tempoh itu
prinsip dibahaskan semula
perasaan diuji kebenarannya
minda bercelaru memikirkannya
hati berbaur sentiasa


masa berlari laju
dan larian itu turut mendewasakan aku
membuatkan minda lebih terbuka
mengingatkan hati agar berwaspada
kerna takut jiwa terus didera
kucuba jauh dari hatinya.

7 oktober 2004

Monday, November 16, 2009

TENGKUJUH

langit sedih
awan menangis
hujan tumpah
bumi lemas
tenggelam dalam emosi alam

cengkam dinginnya hawa
menyucuk jarum-jarum halus
tembus ke tulang
terus ke sendi
membatas gerak tubuh muda
lagaknya bak nenek tua

awal musim tengkujuh
terkenang luruh ditempuh
tempat orang di rantau
sama tak serupa
sejuk bumi sendiri
hangat diselubung rindu
bahang diulit cinta
lena dalam dakapan
si beruang merah jambu

16 Nov 2009
~20:15pm~

Sunday, November 15, 2009

AKU PUNYA....

aku punya
sepasang mata
terlalu sensitif penglihatan dwi
sepasang telinga
milik lintah bukan kuali
sepasang tangan
berjari kreativiti berkuku seni
sepasang kaki
teguh berdiri lenguh berlari


aku punya
hanya satu hati
ikhlas
tak perlu kertas uji
keras
ketuklah kalau berani.


12:26 pm
15 NOV 2009

Sunday, November 8, 2009

IZRA NUR ALEESHA

si kecil itu anak orang
ditatang minyak tertumpah
disayang nampak marah
nakal terlebih pandai tak kurang
lagi ditegah lagi diulang

suka hatinya yang berduka
jangan berani diduga
diam bersama nenda
sendiri berdiri berdikari
berpisah bukan dipisahkan
bahana cinta duniawi

bulan dan matahari
berhenti mati
semua perlu dibelek
dikaji mental emosi
diteliti fizikal jasmani
dirakam setiap detik aktiviti
kemaskini diari perjalanan
tahun ketiga kehidupan
sebelum yang keempat memberi salam
menjelang tengah malam

8 NOV 2009
~22:50 pm~


Wednesday, November 4, 2009

SEMALAM

hari ini sama dengan semalam
kelmarin dan hari-hari sebelumnya
semua seangkatan
tak banyak membezakan


hari ini masih membenci semalam
kasihan semalam
tak tahu hujung pangkal
tiba-tiba dibenci
kasihan sekali


gagalnya semalam
bukan satu kegagalan
gagalnya semalam
masih boleh dijayakan
gagalnya semalam
jangan dipadam
jahit dalam ingatan
kelak jangan diulang
belajar dari pengalaman

hari ini akan jadi semalam
sebaik esok bertandang
apalah dosanya menjadi semalam
esok datang pasti menghilang.


18:00 pm
~4 nov 2009~

Monday, November 2, 2009

MONOLOG HATI I

serpihan pengalaman berduri
membentuk cantuman benteng minda
memagari hati melindungi perasaan
dari pedihnya luka
kasih yang dikhianati


selama minda menjadi raja
hati jarang sekali bersuara
sehinggalah tiba satu ketika
saat diri benar-benar teruji
meminta jawapan seikhlas hati


entah mengapa detik itu
hati ingin sekali menerimamu
namun benteng minda
masih gagal diruntuhkan
walau sudah nampak goyahnya


sehingga kini
diri masih berbelah bahagi
antara perasaan dan prinsip
semuanya terletak
pada tangan yang menghulurkan
suara yang bertanya.

~mac/april 2004~