esok
rutin tahunan berulang
sama mungkin berbeza
tanah itu akan dilawati lagi
ampun anakmu jarang sekali hampir
sekadar lalu jarang menyinggah
menjejak kaki ke rumah putihmu
betul-betul di sebelah masjid
kejirananmu terlalu sunyi tanpa suara
kosong tanpa bayang manusia nyata
pedulikan kata orang
pada mereka mungkin anakmu berdosa
salah dan bersalah
lupa padamu yang pergi terlalu lama
lupakah aku?
lupakah kami?
aku tak tahu tentang abang dan kakak
pastinya mereka lain
mereka sempat bermanja dan dimanja
aku hanya punya satu ingatan tentangmu
itupun kabur entah kenyataan entah khayalan
mak kata aku sepertimu
disenangi ramai kenalan
suka membantu bila termampu
bicara ramah tak kira kasta
tapi baran jika tersilap cara
aku bangga
memiliki raut sesempurna wajahmu
puas kucongak
mengapa hati tak berperasaan
air jernih tak terbit di tubir mata
hanya memandang kosong dua batu nisan
sambil menadah tangan memberikan doa
maaf aku anggap kamu tiada di situ
kerana aku adalah jelmaanmu
maka tempatmu adalah dalam diriku
sentiasa bersatu
saat ini
aku teramat bahagia
bunga tidak terus mati
kembang menguntum mekar
bukan di taman indah
tapi cukup seri lamannya.
*selamat hari raya aidilfitri...*
malam raya~19 september 2009
-21:20p.m-
No comments:
Post a Comment